PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2019 KETUA PENOLONG PENGARAH BAHAGIAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN NEGERI KELANTAN
11:14 PG
Marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana masih memberikan kita nafas untuk meneruskan kehidupan di bumi yang fana ini. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W, Rasul pemimpin seluruh alam.
Semoga 2019 membawa sinar baru kepada seluruh warga pendidikan di Malaysia khususnya kepada warga kerja Bahagian Teknologi Pendidikan Negari Kelantan dan Pusat Kegiatan Guru seluruh Kelantan. Alhamdulilllah saya dapat bekerja bersama dengan rakan-rakan yang hebat.
Dunia pendidikan menuntut kita mengabdikan diri menjadi lilin, walaupun diri terbakar tetapi cahayanya menyinari kehidupan insan-insan lain. Walau bukan di bilik darjah tetapi fungsi pendidik tetap sama, menyampaikan ilmu untuk melestarikan dunia pendidikan. Cabaran kita tetap sama walaupun tidak secara langsung berdepan dengan murid tapi kita adalah pencetus gelombang kemenjadian murid.
Dipermulaan 2019 ini saya ingin mengajak semua warga kerja BTPN dan PKG untuk memahami fungsi sebenar kita. Adakah kita sekadar institusi yang berperanan untuk menyediakan kamera video bagi merakam dokumentasi program jabatan atau sekadar orang tengah untuk membekalkan kemudahan internet dan perkakasan ict untuk kegunaan guru dan pelajar atau membantu sekolah menceriakan pusat-pusat sumber sekolah untuk dipertandingkan atau sekadar menjadi pemantau pencapaian pembestarian sekolah?.
TIDAK! Tugas kita lebih besar dan lebih penting daripada semua itu di mana BTPN berperanan untuk membudayakan leterasi teknologi dalam pendidikan. Apa itu literasi ICT? “ICT is using digital technology, communications tools, and/or networks to access, manage,integrate, evaluate and create information in order to function in a knowledge society” (Jawatankuasa Literasi Teknologi Maklumat Majlis Penyelidikan Kebangsaan (NRC, 1999) dan Panel International ICT Literacy (2002)).
Secara umumnya kita harus berperanan untuk menghasilkan guru-guru yang berupaya mengintergrasikan pelbagai media teknologi, kandungan dan pedagogi dalam proses PdPc serta membudayakan pemimpin-pemimpin sekolah bagi menghadapi perkembangan teknologi yang begitu pesat dan komplesiti pedagogi yang digunakan dalam abad ke 21. Pemimpin-pemimpin sekolah harus diberi pengetahuan bagaimana mengintergrasikan penggunaan teknologi pendidikan dalam pengurusan dan PdPc agar dapat membawa masyarakat pendidik dan pelajar sekolah ke zaman digital.
Bunyinya terlalu berat bukan?… TIDAK! Itulah yang sedang kita laksanakan sekarang, selaras dengan penekanan BTP terhadap program-program khidmat bantu kepada sekolahsekolah, cuma strategi dan pelan tindakan kita perlu disemak semula agar ianya lebih berfokus dan lebih berkesan. Bagi mencapai hasrat ini pegawai-pegawai kita perlu bersedia untuk mempertingkatkan diri dengan perubahan dan perkembangan teknologi terkini. Pengetahuan kita hendaklah selari dengan fungsi dan matlamat penubuhan BTPN iaitu :
- Meningkatkan penggunaan bahan pelbagai media pendidikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
- Meningkatkan kemahiran guru dalam penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sejajar dengan konsep pendidikan bestari.
- Meningkatkan perkembangan Pusat Sumber Sekolah (PSS) dengan kemudahan teknologi terkini untuk memudahkan guru mengaplikasikannya disamping membudayakan minat membaca dikalangan guru dan pelajar.
- Meningkatkan pengurusan, penggunaan teknologi, dan kehendak pelanggan di Pusat Kegiatan Guru (PKG).
- Meningkatkan kualiti pendidikan melalui pembudayaan penyelidikan dan pembangunan berdasarkan keperluan dan masalah setempat.
Sehubungan itu saya menyeru semua warga kerja BTPN dan PKG agar sama-sama dapat menghayati falsafah penubuhan BTPN agar tidak lari dari fungsi utama kita. Justeru itu marilah bersama saya mengembeling tenaga dan idea untuk menggerakan BTPN terus kehadapan menghadapi era digital. Semoga Tahun 2019 memberi sinar baru untuk kita warga kerja BTPN/PKG Kelantan.
“SELAMAT TAHUN BARU 2019 DAN SELAMAT BERTUGAS”
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
Saya yang menjalankan amanah,
MOHD ASRI BIN MOHD ZAWAWI
Ketua Penolong Pengarah
Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kelantan
01.01.2019
Ketua Penolong Pengarah
Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kelantan
01.01.2019
0 ulasan