BUDIMU DISANJUNG



1 Januari 2016 PKG Banggol telah kehilangan seorang pegawai yang amat disanjungi dan penuh dedikasi yang bertukar ke Pusat Kegiatan Guru Pasir Pekan. Sepanjang beliau bersama PKG Banggol telah menempa pelbagai kejayaan terutama Anugerah Kecemerlangan Teknologi Pendidikan Tahun 2015 selain mengangkat pkg dalam bidang pengurusan PSS dan ICT di sekolah kelompok. Walaubagaimanapun kehilangan beliau telah diisi oleh seorang lagi pegawai yang berpengalaman dan berkaliber iaitu saudara Farizul Karimi Ibrahim yang bertukar setara dari Pusat Kegiatan Guru Tumpat. Semoga dengan pertukaran ini dapat meneruskan lagi legasi kecemerlangan yang dicapai serta dapat melonjakkan kelestarian sekolah kelompok PKG Banggol. Tahniah diucapkan.


Bengkel Pembinaan Laman Pembelajaran Maya Frog VLE Siri 3 sekolah kelompok PKG Banggol telah diadakan pada 14 – 15 Setember 2015 bertempat di PKG Banggol. Seramai 35 orang peserta terdiri dari Guru Bahasa Inggeris Tingkatan 2 dari sekolah menengah dan Guru Bahasa Inggeris Tahun 5 dari sekolah rendah mengikuti bengkel tersebut. Penceramah yang dijemput adalah En. Abdullah Bin Bakar – Pegawai Teknologi Pendidikan, Pusat Kegiatan Guru Banggol. En. Ramli Bin Ab Ghani – Pegawai Teknologi Pendidikan, PKG Banggol telah merasmikan bengkel tersebut.

Objektif bengkel ini diadakan adalah bagi menghasilkan laman pembelajaran maya VLE bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris Tingkatan 2 bagi sekolah menengah dan Bahasa Inggeris Tahun 5 bagi sekolah rendah sebagaimana yang diarahkan oleh KPM untuk menghasilkan 10,000 tajuk laman pembelajaran bagi tahun 2015.

Laman pembelajaran yang telah siap dan sempurna dimuatnaik ke Moe Repository untuk penilaian. Laman yang menarik akan dimasukkan ke dalam Frogstore sebagai bahan perkongsian. Melalui bengkel ini diharap guru-guru akan lebih mahir untuk membangunkan laman pembelajaran maya yang lebih interaktif dan lebih berkesan di kemudian hari di samping dapat meningkatkan penguasaan ICT guru-guru.

PROGRAM KHIDMAT BANTU PSS PKG BANGGOL 2015 – SMK PUTERA



PKG Banggol telah menganjurkan Program Khidmat Bantu Pusat Sumber Sekolah untuk sekolah menengah pada 18 – 20 Ogos 2015 bertempat di SMK Putera, Kota Bharu. Program ini diadakan bertujuan untuk memberi khidmat bantu mengenai pengurusan dan pentadbiran PSS yang perlu ditingkatkan terutama dalam aspek pengurusan Fail dan Rekod serta Keceriaan dan Susun Atur Perabot di bilik PSS. Seramai 16 orang Guru Perpustakaan dan Media sekolah kelompok PKG Banggol bersama-sama AJK PSS SMK Putera telah berkampung selama 3 hari bagi menjayakan program ini. En. Nor Azman bin Mohd Noor telah dijemput untuk merasmikan program berkenaan.

Pada hari pertama, GPM bekerjasama untuk menyusun semula kedudukan perabot di PSS supaya lebih menarik serta bersesuaian dengan keadaan persekitaran masakini. Selain itu juga, bahan-bahan PSS seperti buku-buku, majalah serta bahan bukan buku telah dikemaskini serta disusun kembali mengikut pengkelasan masing-masing. Rekod-rekod PSS serta pengurusan fail PSS telah dikemaskini serta ditambah-baik. Manakala pada hari kedua dan ketiga, kerja-kerja keceriaan dan kebersihan PSS telah diadakan.

Melalui program khidmat bantu PSS ini dapat meningkatkan lagi kerjasama antara AJK PSS, Pentadbiran Sekolah serta Guru Perpustakaan dan Media dengan staf dan pegawai PKG Banggol sekaligus dapat meningkatkan lagi ilmu pengurusan PSS di kalangan peserta. Diharapkan agar melalui program yang diadakan ini dapat menaikkan lagi tahap kecekapan PSS beroperasi serta dapat menarik lebih ramai murid serta warga sekolah untuk mengunjungi PSS.